“Adapun kebahagiaan ilmu, maka hal itu tidak dapat kamu rasakan kecuali dengan cara mengerahkan segenap kemampuan, keseriusan dalam belajar, dan niat yang benar"-Ibnu Qayyim.

Saturday, June 26, 2010

Perihal Jemaah Islamiah


Sedutan Berita dari Utusan online:

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kumpulan militan, Jemaah Islamiah (JI) warga asing yang dikatakan cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dikesan memasuki Malaysia menggunakan pas pelajar.

Sumber memberitahu, sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di selatan Semenanjung dan di Lembah Klang dikenal pasti menjadi sasaran golongan terbabit....

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan kumpulan JI cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut golongan remaja di negara ini termasuk pelajar IPT.

Kata Musa, perkara itu terbukti selepas polis berjaya menahan dan mengusir 10 anggota JI dalam siri operasi yang dijalankan sejak awal tahun ini.

Ekoran penahanan itu, polis berjaya menyelamatkan seramai 20 hingga 30 pelajar IPT daripada terpengaruh dengan perjuangan mereka.

Ditanya mengenai modus operandi kumpulan ekstremis itu, beliau berkata, siasatan awal mendapat, pada peringkat permulaan, mereka bertindak licik dengan memperdayakan pelajar dengan isu-isu agama bagi mendapatkan simpati.

"Isu-isu seperti Islam dizalimi dijadikan sebagai umpan menyemarakkan semangat keislaman sebelum menerapkan perjuangan kumpulan itu pula," katanya.

hmm..siapakah sebenarnya JI ni? Kenapa diorang dianggap seperti musuh oleh kerajaan Malaysia...hmm

ASAL-USUL JEMAAH ISLAMIYAH


Jemaah Islamiyah(JI) adalah nama untuk kumpulan Muslim yang beroperasi di Asia Tenggara. Kumpulan ini menjadi popular selepas peristiwa pengeboman sebuah pusat hiburan di Bali pada 12 Oktober 2002, yang mengorbankan 202 nyawa, dan pengeboman di hotel J.W. Marriot, Jakarta, pada 5 Ogos 2003, yang membunuh 12 orang. Kemudian JI juga dipercayai bertanggungjawab ke atas pengeboman di depan pejabat Kedutaan Australia di Jakarta pada 9 September 2004, dan beberapa siri pengeboman gereja di Indonesia pada tahun-tahun sebelumnya. Oleh itu, JI secara rasmi dimasukkan ke dalam senarai organisasi teroris di PBB pada 23 Oktober 2002.


Walaupun dilaporkan bahawa JI baru ditubuhkan di Malaysia sekitar tahun 1990-an oleh Abdullah Sungkarbersama-sama dengan veteran perang Afghanistan yang terlibat dengan al-Qa‘idah, namun menurut sebahagian pengamat, akar kumpulan JI telah bermula sejak tahun 1970-an, ketika Sungkar dengan Abu Bakar Ba’asyir mendirikan Sekolah Agama atau Pondok Pesantren al-Mukmin yang dikenali sebagai Pondok Ngruki di Solo, Jawa Tengah. JI merupakan transformasi daripada gerakan Darul Islam (DI) yang pernah memberontak sekitar tahun 1950-an, bertujuan untuk mendirikan Negara Islam Indonesia (NII).Dikabarkan bahwa Sungkar dan Ba’asyir masuk ke dalam DI tahun 1976. Sungkar dilantik menjadi gabenor militer NII wilayah Jawa Tengah. Pada bulan Februari 1977 ia menubuh dan memimpin kelompok pejuang yang diberi nama Jemaah Mujahidin Ansharullah (JMA) dan dianggap oleh sebahagian pengamat sebagai mukadimah bagi gerakan JI sekarang. Menurut Mark Hong, Sungkar dan Ba’asyir akrab dengan Abdul Wahid Kadungga, dialah yang memperkenalkan kepada mereka gerakan Jama‘ah Islamiyyah (Islamic Group), sebuah gerakan militan Muslim yang merupakan pecahan daripada Ikhwan al-Muslimin (IM) dan mulai popular di Mesir tahun 1970-an.


Pada tahun 1978, Sungkar dan Basyir dipenjarakan oleh pemerintahan Soeharto, kerana didakwa bersubuhat dengan kumpulan Komando Jihadyang diketuai oleh Haji Ismail Pranoto (Hispran) untuk mencetuskan tindakan subversi, dan menuntut pelaksanaan Syari‘ah Islam di Indonesia. Pada tahun 1982, mereka dibebaskan, namun kemudian ekoran peristiwa Tanjung Priok tahun 1984 yang mengorbankan banyak nyawa, keduanya kembali dituduh melakukan subversi. Inilah yang menyebabkan Sungkar dan Ba’asyir melarikan diri ke Malaysia tahun 1985 melalui Medan. Dalam perjalanannya ke Medan, menurut sebahagian pengamat, Sungkar sempat singgah di daerah transmigrasi Lampung, Sumatera Selatan, iaitu kawasan penempatan transmigrasi (perpindahan penduduk) asal Jawa Tengah dan Jawa Timur. Ia sempat membentuk kumpulan yang dinamakan Jemaah Islamiyah di daerah Way Jepara. Lampung telah menjadi asas gerakan Darul Islam yang kuat sejak 1970-an, dipimpin Abdul Qadir Baraja, yang pernah menjadi guru dan turut mendirikan Pondok Ngruki dan kawan rapat Abu Bakar Ba’asyir, yang juga turut hadir pada kongres pendirian Majelis Mujahidin Indonesia (MMI) dan dilantik sebagai ketua bahagian fatwanya. Way Jepara merupakan tempat bagi apa yang disebut sebagai Sekolah Satelit Pondok Ngruki, yang pada tahun 1989 menjadi pusat sebuah pertempuran berdarah antara warga Pesantren dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Mereka dikenali sebagai kelompok Mujahidin Warsidi. Mereka dianggap menentang ideologi negara, Pancasila.


Tiba di Malaysia Sungkar dan Ba’asyir bertemu dengan Abdul Wahid Kadungga, dialah yang menguruskan tempat tinggal bagi mereka. Sungkar dan Ba’asyir menetap di Kuala Pilah dengan menggunakan nama samaran; Sungkar menggunakan nama “Abdul Halim”, sedangkan Ba’asyir menggunakan nama “Abdus Somad”. Di Malaysia mereka bertemu dengan pendatang lainnya yang berasal dari kelompok pemisah Aceh dan Sulawesi yang sebelumnya ada hubungan dengan DI. Sungkar dan Ba’asyir meneruskan dakwahnya. Walaupun mereka sudah berada di Malaysia, namun tetap berhubung dengan rakan-rakannya di Indonesia, bukan sahaja yang berada di Jawa Tengah, tetapi juga di Jakarta, Jawa Barat, Sumatera Utara, dan Sulawesi Selatan. Mereka merekrut anggota yang bersedia berperang di Afghanistan. Sungkar merekrut sukarelawan melalui Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII) dan mulai menghantar mereka ke Afghanistan sejak tahun 1985 dengan bantuan dana daripada Rabitah al-‘Alam al-Islami (Islamic World League)


Cara yang dilakukan JI dalam merekrut anggota pejuangnya adalah sebagai berikut: Pertama, menyampaikan dakwah secara umum di masjid-masjid dan di pesantren-pesantren; Kedua, orang-orang yang nampaknya tertarik dengan dakwah tadi dijemput untuk menghadiri halaqah, yaitu pengajian tertutup dalam kumpulan kecil yang keanggotaannya lebih sedikit (usrah). Dalam halaqah ini anggota akan dibimbing oleh seorang murabbi (instruktor), dialah yang akan memimpin anggota melalui empat tahap: tabligh (penyampaian dakwah dan informasi), ta‘lim (pengajaran tentang agama Islam), tarbiyah (pendidikan dan latihan mental dan fizikal), dan tamhis (penyaringan). Pada peringkat tamhis, para peserta akan disaring dan diuji bakat serta keupayaan mereka, kemudian mereka akan dibai‘ah menjadi anggota yang setia sebagai pengikut JI.


Sungkar mengatakan bahwa untuk mewujudkan Dawlah Islamiyah itu diperlukan tiga kekutan: Quwwatul Aqidah (kekuatan akidah), Quwwatul Ukhuwwah (kekuatan persaudaraan sesama muslim), dan Quwwatul Musallahah (kekuatan bersenjata). Namun cara atau alat yang amat penting dalam mencapai tujuan tersebut, menurutnya, adalah dengan melaksanakan jihad (perang). JI juga membentuk pasukan khusus yang dipanggil dengan nama Laskar Khas. Antara tugas pasukan ini adalah melakukan serangan-serangan dan pengeboman.


Penulis berpendapat bahwa ada faktor kejiwaan yang mendorong kelompok berkenaan bertindak ganas. Secara umum mereka yang terlibat dalam kegiatan keganasan itu adalah golongan yang lebih muda, yang penuh dengan semangat dan keberanian, lebih-lebih lagi setelah mereka turut berperang di Afghanistan. Maka jiwa mereka telah serasi dengan suasana perang, dan cenderung menggunakan kekerasan terhadap orang-orang yang mereka anggap sebagai musuh. Dalam kumpulan al-Qaeda pun tidak semuanya menyetujui tindak keganasan. Abdullah Azzam sendiri, mentor Usamah bin Ladin, tidak merestui perjuangan menggunakan cara-cara keganasan. Sebaliknya, golongan yang lebih muda, seperti Ayman al-Zawahiri dan rakan-rakan yang berasal dari kumpulan Jihad Islam Mesir, inilah yang mendorong untuk melakukan kegiatan keganasan

(Dipetik dari 'ANALISIS TERHADAP GERAKAN JEMAAH ISLAMIYAH karya Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Fikri Mahmud)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...