Kisah tentang dua orang sahabat karib yang sedang berjalan melintasi gurun pasir. Amat dan Amin namaya. Mereka telah tersesat di tengah-tengah gurun pasir tersebut. Dalam usaha mereka untuk meneruskan perjalanan, mereka bertengkar kerana saling menyalahkan antara satu sama lain. Amat tidak dapat menahan diri lalu menampar temannya Amin. Amin berasa sakit hati, tetapi dengan tanpa berkata-kata, dia menulis di atas pasir:
"Hari Ini, Sahabat Terbaik Aku Telah Menampar Pipiku"
Mereka terus berjalan tanpa berkata sepatah perkataan pun, sehingga mereka menjumpai sebuah oasis, dimana mereka memutuskan untuk mandi. Namun, ternyata oasis tersebut cukup dalam sehingga Amin yang tidak tahu berenang nyaris tenggelam dan lemas, tetapi Alhamdulillah berjaya diselamatkanlah oleh Amat.
Di tepi oasis, ketika Amin mulai sedar dan hilang rasa takutnya, dia terus bangun dan mengukir sesuatu di sebuah batu besar yang berdekatan:
"Hari Ini, Sahabat Terbaik Aku Telah Menyelamatkan Nyawaku"
Amat berasa pelik dengan kelakuan Amin dan bertanya kepadanya , "Kenapa setelah aku menampar kau dan melukai hatimu, kau menulisnya di atas pasir, dan sekarang kau mengukir di atas batu pula?".
Temannya Amin tersenyum lalu menjawab, "Ketika seorang sahabat melukai hati kita, kita harus menulisnya di atas pasir agar 'angin kemaafaan' akan datang menghembus dan menghapuskan tulisan tersebut. Dan apabila sahabat kita melakukan sesuatu kebajikan sekecil apa pun, kita harus memahatnya di atas 'batu hati' kita, agar tetap terus dikenang tidak hilang ditiup waktu.
Sahabat-sahabatku sekalian, dalam hidup ini sering timbul perbezaan pendapat dan konflik kerana sudut pandang yang berbeza. Oleh kerana itu, cubalah untuk saling memaafkan dan lupakan masalah lalu. Marilah kita belajar menulis di atas pasir dan mengukir di atas batu!!! Kadangkala, kemaafan mungkin amat berat untuk diberikan kepada orang yang pernah melukai hati kita. Tetapi hanya dengan memberi kemaafan sahajalah kita akan dapat mengubati hati yang telah terluka.
"Berikan kasih sayang, nescaya kamu akan dikasihi dan berilah keampunan, nescaya akan diberikan keampunan"
(Riwayat Imam Ahmad)
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 133-134:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
No comments:
Post a Comment